Solat: Tuntutan Muhammad diperkenan
Awan yang dulu tertutup, kembali terbuka. Sewaktu Nabi Muhammad saw sampai ke hadrat al-Quds, Baginda sujud kepada Allah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ringankan terhadap umatku apa yang diperintahkan-Mu. Sesungguhnya umatku adalah terlalu daif."
Firman Allah: "Sesungguhnya telah Ku-kurangkan untuk umatmu itu lima waktu solat."
Rasulullah pun turun dan terbukalah awan. Baginda kembali menemui Nabi Musa dan mengkhabarkan dengan katanya: "Sesungguhnya Allah sudah mengurangkan untukku lima waktu solat."
Berkata Musa lagi: "Wahai Muhammad, kembalilah engkau kepada Tuhanmu dan mohonkan keringanan lagi. Bahawasanya umatmu tidak akan berkuasa untuk menunaikannya."
Kembalilah Rasulullah kepada Allah. Lalu dikurangkan lagi lima waktu solat dan begitulah Rasulullah berulang-alik antara Musa dan Allah. Setiap kali Baginda bermunajat dengan Allah, Allah kurangkan lima waktu solat hingga tinggal lima kali saja sehari semalam.
Firman Allah bermaksud : “Telah Aku jadikan solat lima waktu itu pahalanya sama dengan 50 solat itu, tiap-tiap satu solat dinilai dengan 10 dan tiada lagi pertukaran arahan-Ku dan tiada juga berubah suratan-KU.
“Sesiapa yang bercita-cita untuk membuat kebajikan kemudian dia melaksanakannya akan dituliskan 10 kebajikan. Dan sesiapa bercita-cita untuk melakukan kejahatan, tetapi tiada mengerjakannya, maka tiada dituliskan kejahatannya dan jika dia melakukannya, maka dituliskan untuknya satu kejahatan saja.”
Selepas itu, Rasulullah turun dan mengkhabarkan mengenai pengurangan lima waktu solat kepada Musa.
Berkata Musa: “Kembalilah kamu kepada Tuhanmu wahai Muhammad, mohonlah keringanan sekali lagi dan sesungguhnya umatmu tiada kuasa untuk melaksanakannya."
Jawab Rasulullah: “Sesungguhnya aku telah berulang alik kepada Tuhanku beberapa kali hingga aku berasa malu terhadap Tuhanku dan tetap aku laksanakan perintah-Nya ini."
Tatkala itu, terdengar seruan: "Telah Aku laksanakan yang Aku fardukan dan Aku ringankan untuk hamba-Ku."
Berkata Musa: "Turunlah engkau wahai Muhammad dengan nama Allah."
Rasulullah pun turun bersama Jibril, lalu melintasi beberapa jemaah malaikat dan mereka tiada berkata apa-apa melainkan satu pesanan: "Biasakan olehmu wahai Muhammad dengan bebekam dan suruhlah umatmu berbekam."
Apabila melalui Langit Dunia berkata Rasulullah kepada Jibril : "Telah aku lalui isi langit dan tatkala aku memberi salam, semua mereka menjawab salam, memuliakan dan tertawa gembira, melainkan seorang tiada aku lihat dia ketawa."
Kata Jibril: "Wahai Muhammad, itulah Malik yang menunggu neraka, dia sejak dijadikan Allah tidak tertawa. Jikalau dia tertawa terhadap seseorang nescaya, dia akan tertawa terhadap engkau."
Apabila sampai di Langit Dunia, tiba-tiba Rasulullah terlihat debu dan asap serta terdengar suara mersik. Bertanyalah Baginda kepada Jibril apa gerangannya.
Menurut Jibril, itulah syaitan yang menutup mata manusia (anak Adam) hingga mereka tidak mampu berfikir apa yang ada dalam alam malakut langit dan bumi. Dan jika tidak dilakukan begitu nescaya manusia dapat melihat keajaiban-keajaibannya.”
Setibanya Nabi Muhammad dan Jibril di Baitulmaqdis, Rasulullah pun menunggang Buraq yang ditambat itu menuju ke arah Makkah.
Dalam perjalanan itu, Baginda melintasi beberapa unta milik orang Quraisy yang datang dari Syam. Antara unta itu, seekor mempunyai dua karung di atas badannya. Karung itu berwarna putih dan hitam.
Apabila Rasulullah kebetulan menuju ke arahnya, terkejutlah unta berkenaan dan lari berkeliling-keliling hingga salah seekor daripadanya patah kaki, jatuh lalu ditinggalkan di situ oleh pemiliknya.
Dalam perjalanan itu juga, Rasulullah terlihat sekumpulan unta dan salah seekor daripadanya tersesat. Rasulullah menuntunnya hingga terhimpun kembali dalam kumpulannya.
Baginda pun memberi salam kepada mereka dan mengenali suara Rasulullah, tetapi ada juga yang tidak percaya. Kemudian Baginda mengambil mangkuk berisi air dan meminumnya.
Apabila tiba di Makkah berkata Rasulullah : “Sesungguhnya kaumku tiada mempercayaiku mengenai peristiwa ini apabila aku ceritakan kepada mereka nanti."
Jawab Jibril: "Sesungguhnya sahabatmu Abu Bakar akan membenarkan."
Rasulullah tiba di Makkah sebelum Subuh.
Setelah turun, maka terangkatlah Buraq ke langit dan terus ke syurga. Dan setelah waktu Subuh, Baginda pun keluar dari rumah sambil berfikir sendiri terhadap apa yang dialaminya.
Rasulullah bimbang penerimaan kaumnya kerana peristiwa itu amat luar biasa dan menyalahi adat pada fikiran manusia.
Pada waktu itu, datanglah Abu Jahal, lantas bertanya: "Apakah kamu ada apa-apa berita?"
"Ya," jawab Rasulullah.
"Apakah ia?" tanya Abu Jahal lagi.
Rasulullah menjawab : "Aku telah diperjalankan pada malam tadi ke Baitulmaqdis.
"Apa? Kamu diperjalankan ke Baitulmaqdis dalam tempoh satu malam? Apakah engkau mahu aku khabarkan berita ini kepada kaummu?"
"Bahkan aku akan khabarkan apa yang aku khabarkan kepadamu ini."
Abu Jahal pun menyeru dengan suara lantang: "Wahai Bani Kaab dan Bani Lua', berhimpunlah kamu semua kepadaku."
Apabila berkumpul semua orang, berkatalah Abu Jahal kepada Rasulullah : "Khabarkanlah kepada kaummu seperti yang engkau khabarkan kepadaku, wahai Muhammad."
Berkatalah Rasulullah : "Bahawasanya aku telah diperjalankan pada malam tadi."
"Ke mana?" tanya kaumnya.
"Ke Baitulmaqdis," jawab Rasulullah
"Apa! Kamu dijalankan dalam masa yang singkat itu?" tanya mereka lagi.
"Ya," jawab Rasulullah
Gemparlah mereka dan saling bertanya-tanya sesama sendiri. Sesetengahnya menepuk dahi. Bersambung.
– Petikan daripada buku Perjalanan Ajaib – Israk & Mikraj terbitan Karya Bistari Sdn Bhd
0 Comments:
Post a Comment
<< Home