Jibril temukan nabi dengan umat laku kemungkaran
Kemudian Nabi Muhammad saw bersama Jibril bertembung pula dengan sebahagian kaum yang dihidangkan daging yang telah dimasak dengan baik di dalam bekas perak. Di sebelahnya pula terhidang daging mentah, lagi busuk. Tetapi yang menghairankan, mereka memilih untuk makan daging mentah lagi busuk itu.
Rasulullah segera bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu. Jibril pun menerangkan bahawa mereka itu adalah sebahagian daripada umat Baginda, lelaki dan perempuan yang mempunyai isteri atau suami yang halal, tetapi ditinggalkan. Sebaliknya mereka mendatangi perempuan atau lelaki za'niah (pelacur).
Dalam perjalanan berikutnya, ditunjukkan beberapa kayu berduri di jalan dan sesiapa yang melalui jalan berkenaan pasti akan terluka atau terkoyak bajunya. Lalu Rasulullah pun bertanya kepada Jibril.
Jawab Jibril: “Inilah seumpama beberapa kaum daripada umat engkau yang duduk di tepi-tepi jalan (lepak) mengintai-intai orang yang lalu di jalan itu bertujuan mengganggu dan sebagainya.”
Lalu Jibril membaca firman Allah bermaksud: “Dan jangan kamu duduk di jalan-jalan untuk menakut-nakutkan (mengganggu) orang lain.”
Ketika Rasulullah bersama Jibril meneruskan perjalanan, sampailah mereka ke suatu tempat. Di situ Baginda terlihat seorang lelaki yang berenang di dalam lautan darah sambil dilontarkan batu ke mulutnya.
Rasulullah pun bertanya: “Apakah sebenarnya kejadian itu”? Jibril pun menjelaskan itulah diumpamakan sebahagian daripada umat Baginda yang memakan riba.
Kemudian Rasulullah berjumpa pula dengan seorang lelaki yang menghimpunkan beberapa bekas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya, tetapi semakin ditambah pula kayu itu. Semakin tidak terdaya semakin kayu itu ditambahnya dan begitulah seterusnya.
Rasulullah pun bertanya kepada Jibril mengenai kejadian itu, lalu, Jibril menerangkan bahawa itulah seorang yang memegang amanah, tetapi tidak mampu melaksanakannya, namun mereka masih juga mahu menerima amanah lain.
Seterusnya sampailah mereka ke suatu tempat di mana beberapa kaum yang kerjanya menggunting lidah dan bibir sendiri.
Setiap kali lidah dan bibir mereka putus, ia pulih seperti sedia kala dan mereka mengguntingnya kembali dan begitulah seterusnya berulang-ulang kali.
Rasulullah pun bertanya kepada Jibril. Jawab Jibril: “Inilah diumpamakan seseorang yang mengajarkan manusia dengan tiada sebenarnya dan mereka tidak membuat apa-apa yang mereka ajarkan.”
Kemudian Nabi Muhammad bersama Jibril terjumpa pula beberapa kaum yang mempunyai kuku tembaga tajam.
Mereka menggaru-garu muka serta badan hingga tersiat daging dan bercucuran darah.
Rasulullah segera bertanya kepada Jibril mengenai perkara itu.
Jibril menjawab: “Inilah seumpama mereka yang makan daging, suaranya dengan mengumpat serta menjatuhkan maruah orang lain.”
Selepas itu, dalam perjalanan seterusnya, Rasulullah ternampak satu lubang kecil. Tiba-tiba keluar seekor lembu jantan dan cuba hendak masuk semula ke dalam lubang itu, tetapi tidak berjaya.
Rasulullah pun bertanya kepada Jibril. Jawab Jibril: “Itulah umpama seseorang yang mengerjakan serta memperkatakan perkara yang dimurkai Allah, kemudian dia menyesali atas perbuatannya itu tetapi dia tidak mampu untuk menyesalinya.”
Baginda dan Jibril pun meneruskan perjalanan dan tiba-tiba Rasulullah ditegur oleh pihak di sebelah kanan seraya berkata: “Wahai Muhammad, pandanglah aku. Sesungguhnya aku ingin bertanya kepada engkau suatu perkara.”
Tetapi Rasulullah tidak menyahut panggilan itu. Lalu Jibril pun menerangkan bahawa itulah seruan Yahudi dan jika Baginda menjawab tadi, nescaya ramailah di kalangan umat Baginda yang menjadi Yahudi.
Selepas itu Rasulullah ditegur oleh pihak di sebelah kiri, tetapi Baginda masih tidak menyahut.
Berkata Jibril: “Itulah seruan Nasrani dan jika engkau menjawab seruan itu tadi, wahai Muhammad, nescaya ramailah di kalangan umat engkau yang menjadi Nasrani.”
Tidak lama selepas itu, Rasulullah diseru oleh seorang perempuan yang memakai perhiasan cantik. Tetapi, Rasulullah tidak menyahut panggilan itu.
Lalu Jibril pun menjelaskan kepada Rasulullah bahawa jika Baginda menjawab panggilan itu, nescaya ramailah di kalangan umatnya yang mementingkan perkara dunia daripada akhirat.
Setelah itu, Rasulullah diseru pula oleh seorang tua yang duduk jauh daripada mereka.
Berkata Jibril: “Teruskan perjalananmu wahai Muhammad. Sesungguhnya itu adalah musuh Allah (iblis).”
Lalu mereka pun meneruskan perjalanan.
Dalam perjalanan itu juga, tiba-tiba mereka bertemu seorang perempuan tua di tepi jalan.
Apabila ditanya oleh Rasulullah, Jibril pun menerangkan bahawa itulah diumpamakan umur dunia. Tiada apa-apa yang tinggal lagi melainkan umur perempuan tua itu.
Petikan buku Perjalanan Ajaib – Israk & Mikraj terbitan Karya Bistari Sdn Bhd.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home