Nabi Muhammad melihat Allah
Nabi Muhammad saw kemudian diangkat ke hadrat al-Qudsi. Di sini Rasulullah dapat melihat Allah dengan tiada apa-apa perantaraan iaitu dengan matanya sendiri. Tiada seorang pun daripada nabi atau mursalin melihat Allah sebelum ini. Sebaik Rasulullah melihat Allah, Baginda terus sujud menyembah-Nya.
Berfirman Allah: “Wahai Muhammad.” Jawab Rasulullah: “Labbaika.” Firman Allah lagi: Angkatkan kepalamu, mohonlah apa yang engkau hendak Aku berikan kepadamu."
Rasulullah pun mengangkat kepala Baginda sambil berkata: “Wahai Tuhan, bahawasanya Engkau telah melantik Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berinya kerajaan yang amat besar dan Engkau berkata-kata terus dengan Musa dan Engkau berikan Daud kerajaan yang amat besar dan Engkau permudahkannya untuk melembutkan besi dan Engkau mudahkan baginya kuasai bukit.
“Engkau berikan Sulaiman kerajaan yang amat besar dan Engkau permudahkan baginya jin dan manusia, dan syaitan bekerja dengannya ketika dia menghendaki, dan Engkau mudahkan baginya angin dan Engkau berikannya kerajaan yang tiada seseorang pun boleh memiliki selepasnya.
“Engkau ajarkan Isa dengan Taurat dan Injil dan Engkau berikannya boleh merawat orang yang buta, sopak dan menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Engkau dan Engkau peliharanya serta ibunya daripada syaitan yang direjam. Maka syaitan tidak mampu menyesatkan mereka berdua."
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku angkatkan engkau sebagai Habib (kekasih) dan Aku utuskan engkau untuk manusia seluruhnya supaya mengkhabarkan berita gembira dan memberi peringatan.
Aku luaskan dadamu dan Aku buangkan daripadamu dosamu dan Aku angkatkan untukmu zikirmu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia dan Aku jadikan umatmu itu sederhana. Dan Aku jadikan umatmu orang yang pertama dan orang yang terakhir dan Aku jadikan umatmu itu tiada sah khutbah dan solat hingga mereka itu berikrar bahawa engkau hamba-Ku dan pesuruh-Ku.
“Dan Aku jadikan daripada umatmu beberapa kaum yang mana hati mereka berpaut dalam hati mereka. Aku telah jadikan engkau Nabi yang mula-mula diciptakan dan Nabi yang terakhir dibangkitkan, dan Aku jadikan engkau orang yang mula-mula dibicarakan pada Hari Kiamat.
“Dan Aku berikan engkau tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dalam solat iaitu surah al-Fatihah, yang ia Aku beri kepada nabi sebelum engkau. Aku berikan engkau penutup surah al-Baqarah, harta yang bernilai di bawah Arasy, ia tiada Aku beri kepada nabi sebelummu.
“Dan Aku berikan engkau dengan lapan saham berharga iaitu Islam, hijrah; sedekah; menyuruh yang makruf dan menegah yang mungkar; dijadikan engkau pembuka dan penutup; diberikan engkau panji-panji kepujian, maka Adam dan lainnya berada di bawah panji-panji engkau. Dan sesungguhnya pada hari Aku menjadikan tujuh petala langit dan bumi.
“Aku fardukan ke atasmu dan umatmu 50 waktu solat, maka dirikanlah ia.”
Selesai bermunajat kepada Allah, Rasulullah pun kembali mendapatkan Jibril. Lalu Jibril pun memimpin tangan Rasulullah untuk turun.
Apabila tiba kepada Nabi Musa, bertanyalah beliau kepada Rasulullah: “Apakah yang diperlakukan terhadapmu wahai Muhammad dan apa yang difardukan ke atas kamu dan umatmu?”
Jawab Rasulullah: “Sesungguhnya Allah memfardukan ke atasku serta umatku dengan 50 waktu solat sehari semalam.”
Lalu berkata Musa: “Kembalilah engkau wahai Muhammad kepada Tuhanmu dan mohonkan keringanan untuk kamu dan umatmu, bahawasanya umat kamu tidak mampu untuk menunaikannya.
“Sesungguhnya Bani Israel yang gagah tidak mampu melakukan amalan yang lebih sedikit daripada itu, sedangkan umatmu lemah tubuh badan, lemah hatinya, mana mungkin mereka mampu melaksanakan tugas seberat itu.”
Selepas mendengar kata-kata Musa itu, Rasulullah pun memandang Jibril. Jibril mengisyaratkan supaya Nabi kembali ke Sidratul Muntaha untuk menemui Allah untuk diringankan apa yang telah difardukan.
Petikan buku Perjalanan Ajaib - Israk & Mikraj terbitan Karya Bistari Sdn Bhd.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home